Plantar Fasciitis
“Rasa sakit tumit setiap kali lepas berjalan atau diri lama sikit. Dah hampir setahun macam tu. Jumpa dengan doktor di Primer Cherang Clinic dan doktor terang dengan teliti treatment plan. Dah setahun lebih tak sakit tumit. Sangat recommend sesiapa yang ada sakit tumit untuk jumpa doktor dapatkan rawatan!!
-Puan Rhaudah, pegawai eksekutif Maybank
Apa itu Plantar Fasciitis?
Jika anda pernah mengalami simptom seperti di atas, kemungkinan anda juga mengalami Plantar Fasciitis. Ia adalah sakit pada bahagian tumit kaki disebabkan oleh radang yang berlaku pada lapisan tendon di tapak kaki. Dianggarkan di Malaysia, masalah sakit pada bahagian tumit ini melibatkan kira-kira 300,000 penduduk atau sekitar 1% dari populasi.
Biasanya sakit ini datang pada waktu pagi ketika mula hendak berjalan ataupun selepas berjalan jauh dan berdiri lama. Rasa sakit seperti mencucuk-cucuk terutamanya dibahagian belakang tapak kaki atau tumit dan hanya mula reda selepas berehat atau berhenti berjalan.
Punca-punca sakit di bahagian tumit
Ianya berpunca dari kecederaan microtrauma yang berulang-ulang kepada tendon di bahagian tapak kaki. Lama-kelamaan, tendon ini akan mula membengkak dan menyebabkan radang pada tisu sekeliling. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan masalah plantar fasciitis ini adalah seperti berikut:
- Usia yang semakin meningkat – ia biasanya terjadi kepada golongan umur antara 40 tahun sehingga 60 tahun
- Aktiviti sukan yang boleh mencederakan tapak kaki seperti berlari, menari dan mendaki
- Kasut yang tidak sesuai
- Pekerjaan yang perlu berdiri lama seperti pekerja kilang, guru, tukang masak dan sebagainya
Rawatan untuk Plantar Fasciitis
Doktor biasanya akan memeriksa bahagian tapak kaki untuk mendapatkan diagnosis. Kadang-kadang, ujian X-ray atau ultrasound boleh dilakukan untuk memastikan tiada punca seperti benjolan pada tulang tumit yang boleh menyumbang kepada sakit ini.
Rawatan plantar fasciitis boleh dibahagikan kepada:
- Konservatif – meletakkan ais, melakukan senaman untuk meregangkan otot di tapak kaki, memakai kasut yang lebih sesuai dan sebagainya.
- Ubat – ubat tahan sakit dan ubat anti-radang juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan
- Suntikan – suntikan ubat kebas dan ubat anti-radang biasanya dapat memberi kelegaan yang cepat
Ultrasound Guided Plantar Fasciitis Injection
Kadang-kala, jika rawatan konservatif tidak membantu mengurangkan sakit, atau jika sakit pada tumit kaki terlalu kuat, suntikan pada bahagian tumit kaki boleh diberikan untuk memberi kelegaan dengan serta-merta. Dengan pengetahuan baru dan penggunaan ultrasound, suntikan ini dapat diberikan dengan selamat, tepat dan cepat serta mengelakkan komplikasi
Terdapat beberapa tisu penting di bahagian tapak kaki seperti tulang, lapisan lemak, tendon dan otot. Dengan bantuan ultrasound, ubat dapat diberikan di tempat yang sepatutnya dan ini akan meningkatkan peratus untuk berjaya dan juga mengelakkan komplikasi suntikan di tempat yang salah.